Apakah program Narcotics Anonymous?

NA adalah satu persahabatan atau masyarakat tanpa keuntungan untuk lelaki dan perempuan, di mana dadah telah menjadi masalah yang utama. Kami adalah penagih yang kian pulih dan kerap bertemu untuk membantu antara satu sama lain kekal bersih. Ini adalah satu program keseluruhan untuk menjauhkan diri daripada sebarang jenis dadah. Cuma satu syarat untuk menjadi ahli, iaitu keinginan untuk berhenti mengguna. Kami mencadangkan supaya anda berfikiran terbuka dan memberi diri anda peluang. Program kami merupakan prinsip-prinsip yang mudah dan telah direka supaya kita boleh mengamalkannya di dalam kehidupan harian. Perkara yang paling mustahak mengenainya ialah ia berkesan.

NA tiada pertalian dengan sebarang pertubuhan, tiada bayaran atau yuran yang dikenakan, tiada ikrar yang perlu ditanda­tangani atau perjanjian pada sesiapa pun. Kami tidak terikat dengan apa-apa unsur politik, agama atau undang-undang dan tidak tertakluk kepada pengawasan pada setiap masa. Sesiapa saja boleh menyertai kami tanpa mengira umur, bangsa, jantina, ke­cenderungan seks, kepercayaan beragama atau kurang mengamalkan agama.

Kami tidak berminat tentang apa atau berapa banyak yang telah anda gunakan atau siapa hubungan anda, apa yang telah anda lakukan di masa yang lalu, berapa banyak atau kurang anda miliki, tetapi apa yang anda harus lakukan tentang masalah anda dan bagaimana kami dapat membantunya. Saudara baru adalah orang terpenting di dalam setiap perjumpaan kerana kami dapat mengekalkan apa yang ada pada kami dengan cara menyampaikan nya kepada orang lain. Kami telah mempelajari dari pengalaman kumpulan ini, iaitu sesiapa yang selalu menghadiri perjumpaan kami sentiasa bersih.