Mengapa kami disini?

Sebelum menghadiri persaudaraan NA kehidupan kami tidak terurus. Kami tidak boleh hidup dan menikmati kehidupan se­bagaimana orang lain. Kami memerlukan sesuatu yang berlainan dan menyangka telah menjumpainya dalam dadah. Kami meng­utamakan penggunaan dadah daripada ke­bajikan keluarga, isteri, suami dan juga anak kami. Kami terpaksa memerlukan dadah walau apa jua pun. Kami telah banyak menyakiti orang lain tetapi akhirnya kami menyakiti diri sendiri. Melalui ketidak upayaan untuk menerima tanggungjawab diri kami sebenarnya telah mencipta masalah sendiri. Kami tidak mampu menghadapi penghidupan dalam erti kata hidup.

Kebanyakan daripada kami sedar bahawa di dalam penagihan, kami membunuh diri sendiri secara perlahan-lahan, tetapi pe­nagihan adalah satu musuh yang pintar dan belit di dalam kehidupan sehinggakan kami hilang upaya untuk melakukan apa-apa. Ramai di antara kami berkesudahan di penjara atau mencari pertolongan melalui ubat-ubatan, agama dan psikiatri. Kesemua cara-cara ini tidak mencukupi untuk kami. Penyakit kami selalu berulang semula atau berterusan sehingga, dengan nekad, kami mencari pertolongan antara satu sama lain di dalam Narcotics Anonymous.

Setelah menghadiri NA kami sedar bahawa sebenarnya kami adalah orang yang berpenyakit. Kami menderita dari satu penyakit di mana diketahui bahawa tiada yang boleh men­yembuhkannya. Walau bagaimanapun ianya boleh dibendung pada satu masa dan kepulihan boleh berlaku.